Tips Persediaan Penyusuan Susu Ibu bagi Ibu yang Bekerja

Saturday, November 18, 2017 0 Comments A+ a-

Alamak! Lagi 2 minggu dah nak naik kerja!
Boleh ke ibu sediakan stok susu yang cukup untuk cinta hati ibu ni?
Macamana cara terbaik untuk pastikan cinta hati ibu terus dapat khasiat susu ibu?

Selaku ibu bekerjaya, pelbagai persoalan dok berlegar di fikiran lagi-lagi melibatkan keperluan si anak terutamanya penyusuan susu ibu. Memang tidak mudah untuk menjayakan impian kita untuk memberikan susu ibu sepenuhnya kepada bayi kita selepas mula bekerja. Kene kuat emosi, mental dan fizikal 💪

Alhamdulillah... Pengalaman eboo yang bekerja sambil menyusukan anak menemui kejayaan untuk Si Kakak dan Si Abang. Sekarang (2017) ibu teruskan pula untuk Si Adik 😀 Penting sekali niat untuk menyusukan anak sehingga cukup umur mereka 6 bulan dan diteruskan sehingga 2 tahun. 

Perancangan dan persediaan Si Ibu adalah perlu sebelum mula bekerja. Ibu perlu tahu bagaimana untuk memerah susu dan melatih bayi untuk mengambil susu yang diperah.

Senarai Semak Persediaan Ibu Sebelum Mula Bekerja

1] Sediakan Peralatan Sokongan untuk Memerah Susu

Penting untuk mengenal pasti peralatan dan teknik untuk memerah susu. Selain daripada menggunakan pam susu (manual/elektrik), kaedah memerah susu menggunakan tangan juga perlu dipelajari & dipraktikkan (tujuan kecemasan)

Eboo nak selitkan sikit perihal kecemasan untuk sediakan stok susu anak masa dalam pantang dulu. Anak hidapi jaundice (demam kuning) dan terpaksa di tahan dalam ICU bawah lampu UV atas bawah. Masa tu, anak memang tak boleh diangkat langsung sebab nurse kate nanti lambat kuning anak turun. So pada masa tu, kena stayback kat hospital dan eboo tak bawa pam susu so terpaksa buat teknik marmet ataupun perah susu dengan tangan semata-mata untuk sediakan stok susu sebelum ayahnya dapat bawakan pam susu yang sedia ada kat rumah. 
So di situ kita nampak keperluan untuk pelajari teknik marmet di saat-saat kecemasan. 

Seterusnya pemilihan pam susu yang sesuai boleh rujuk Tips Pemilihan Pam Susu yang Berbaloi-baloi serta bekas simpanan yang mencukupi.

2] Berlatih Memerah dan Mengumpul Stok Susu Ibu

Berikut adalah tipsnya:
  • Ibu perlu punyai minda yang positif dan bersedia
  • Mulakan pengepaman sebaik-baiknya sebulan awal atau selewat-lewatnya 2 minggu sebelum mula bekerja dan perlu melatih si anak untuk minum susu perahan yang dibuat
  • Jika bayi tidak boleh menyusu di payudara, mulakan pemerahan secepat mungkin selepas bersalin (digalakkan dalam masa 6 jam selepas bersalin). Perhatian, elakkan berlakunya masalah bengkak susu!
  • Lakukan proses memerah dalam tempoh 15-20 minit dan simpan susu sebagai stok
  • Simpan susu yang telah diperah di dalam botol/bekas kecil yang bersih dan sesuai, cukup untuk sekali penyusuan (Kebiasaannya 1 botol = 4oz)
  • Pastikan cara penyimpanan susu diurus dengan baik supaya tidak berlaku kerosakan pada struktur susu yang disimpan (Rujuk rajah 👇)
Cara Penyimpanan Stok Susu Ibu (EBM)

3] Berlatih Memberi Susu Perahan kepada Bayi

Ibu dinasihatkan untuk melatih anak minum susu yang diperah 2 minggu sebelum kembali bekerja. Ini bertujuan supaya anak boleh menerima cara menyusu secara terus (direct feeding) atau pun dengan menggunakan botol, sudu atau syringe. Walaubagaimanapun, anak berkemungkinan akan mengalami keliru puting jika menggunakan botol susu pada awalnya, InsyaAllah seterusnya mereka lebih mudah menerima dua-dua keadaan. Penerimaan anak tidak sama antara satu sama lain.

Berikut adalah jadual sebagai panduan 👇
Sumber: Malaysian Breastfeeding Advisory Association

Cara Mendapat Sokongan supaya Ibu Dapat Meneruskan Penyusuan di Tempat Kerja

1) Kenal pasti kemudahan & masa mengepam di pejabat

Tempat mengepam memainkan peranan yang penting. Jika anda punya cubicle sendiri, itu  bonus untuk anda. 

Kemudahan-kemudahan yang mungkin terdapat di tempat kerja:
  • Pusat jagaan anak berdekatan tempat kerja
  • Bilik penyusuan/sura
  • Suis elektrik
  • Kerusi
  • Sinki
  • Tempat penyimpanan susu perahan – peti ais

Rancang masa yang sesuai untuk mengepam. Tempoh pengepaman susu boleh dibuat setiap 2-3 jam sekali bergantung kepada komitmen kerja masing-masing. Boleh dimulakan seawal 30 minit sebelum mula waktu kerja contohnya pukul 8 pagi, diikuti pukul 10-11 pagi, kemudian pukul 1-2 tengahari dan diakhir pukul 4-5 petang.

Seelok-eloknya masa mengepam adalah konsisten setiap hari kerana tubuh akan menghantar isyarat bahawa masa itu, akan ada permintaan untuk susu. Secara automatik susu akan terhasil dan tersedia untuk dikeluarkan. Ini berkaitan dengan konsep demand vs supply


2) Memaklumkan kepada rakan sekerja dan majikan berkenaan penyusuan di tempat kerja

Beritahu kepada rakan sekerja dan majikan tentang hasrat untuk menyusukan anak dengan susu ibu secara eksklusif. 

Berbincang dengan majikan tentang pembahagian masa bekerja, masa untuk mengepam susu dan pertukaran operasi kerja (waktu kerja yang lebih fleksibel jika dipersetujui oleh pihak majikan)

Zaman sekarang, masyarakat lebih peka mengenai kebaikan penyusuan susu ibu secara eksklusif. Pasti majikan anda akan lebih memahami dan beri kelonggaran untuk sesi mengepam.


Melalui teknik yang betul, mind set yang positif, pemakanan yang seimbang serta pengambilan suplemen yang semulajadi untuk penyusuan, InsyaAllah dipermudahkan.

Saya doakan semua ibu-ibu yang tekad meneruskan penyusuan akan berjaya sehingga akhirnya. Saya sokong anda! 🙌